NOVEL INDIE

Pengedaran arus permodenan
tidak hanya memperlihatkan perubahan dari segi teknomogi malah dari segi bahan
bacaan. Kini, bahan bacaan yang menjadi pilihan terutama para remaja ialah
novel indie. Perkataan indie
berasal dari perkataan bahasa Inggeris, iaitu singkatan dari independent yang
bermaksud bebas, merdeka dan tidak bergantung pada yang lain. Manakala definisi
indie secara terminologi pula, ianya belum pernah dikemukakan oleh mana-mana
pihak berautoriti di Malaysia secara jelas dan terperinci. Hal ini disebabkan
perkataan indie merupakan suatu istilah baru yang tidak pernah dikenali sebelum
ini oleh masyarakat tempatan. Melihat keadaan ini, penulis merasakan perlunya
dikemukakan pengertian indie yang boleh diterima umum, atau sekurang-kurangnya
pengertian tersebut dapat dijadikan asas dalam perbincangan di sini,
memandangkan istilah indie ini semakin luas digunakan dalam pelbagai tulisan
dan percakapan di Malaysia pada masa kini. Definisi indie sebagai sebuah aliran
atau budaya yang inginkan kebebasan dari sebarang kongkongan serta majority
arus perdana ini diketengahkan kerana ianya dilihat bersesuaian dengan realiti
pembawakan dan tindakan pendukung indie itu sendiri yang inginkan kebebasan
dalam pelbagai bidang yang diceburi mereka. Pada masa yang sama, penulis
menyedari bahawa sikap inginkan kebebasan yang ditonjolkan oleh kumpulan indie
itu selalunya berkaitan rapat dengan pengaruh falsafah sesebuah aliran atau
ideologi yang telah berjaya membentuk pemikiran mereka sehingga menghasilkan
sesuatu tindakan.
Seiring dengan perkembangan tersebut, lebih
kurang empat atau lima tahun kebelakangan ini, beberapa syarikat penerbitan
telah memulakan langkah drastik dengan menerbitkan buku-buku jenis indie,
walaupun aliran indie di Malaysia telah wujud lebih awal dari itu. Sambutan
yang menggalakkan dari pembaca terutamanya golongan muda terus meningkatkan
serta merancakkan lagi permintaan buku indie di pasaran berbanding bukubuku
lain. Malah penulis buku indie juga tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Namun bagi sesetengah pihak, ada yang merasakan
penerbit buku tidak mengikut cara betul untuk menerbitkan buku kerana
penggunaan bahasa, watak dan jalan cerita yang terlalu bebas. Sehinggakan ada
antara mereka melabelkan buku-buku ini sebagai tidak memenuhi piawaian
penulisan yang seharusnya dan lebih malang lagi, apabila ia dikaitkan dengan
sampah serta tidak berfaedah. Perkara seperti itu langsung tidak terkesan,
lebih-lebih lagi kepada penerbit yang terus memberi peluang kepada penulis
untuk berkarya dengan lebih baik serta bebas menyampaikan sesuatu perkara. Jika
dahulu, tidak ada satu novel berbahasa Melayu bukan genre cinta yang digenggam
pembaca muda, terutama lelaki yang boleh dikatakan mati hidup semula, tidak
mengaku membaca buku novel seperti itu. Kini semuanya berubah. Jalanlah ke mana
sahaja atau berkunjunglah ke pesta buku, buku-buku daripada penerbit indie
inilah yang terus diselak dan dijinjing oleh pembaca muda di mana-mana sahaja.
Mungkin hari ini buku keluaran FIXI, Lejen dan sebagainya dikategorikan sebagai
indie, tetapi tidak mustahil ia akan mula bergelar arus perdana satu masa nanti.
No comments:
Post a Comment